TUNAIKAN ZAKAT BERSAMA
PEJUANG USAHAWAN
Kini Pejuang Usahawan telah dilantik sebagai amil PPZ yang sah.
SYARAT WAJIB ZAKAT
i. ISLAM
Pemilik harta mestilah seseorang yang beragama Islam kerana zakat disyariatkan kepada orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam tidak diminta untuk mengeluarkan zakat kerana zakat adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan kepatuhan diri sebagai seorang hamba.
ii. MERDEKA
Bebas daripada cengkaman penghambaan. Isu hamba tidak timbul pada masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan oleh para ulama sebagai salah satu syarat wajib berzakat.
iii. MILIK SEMPURNA
Pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atasnya melainkan dirinya sendiri. Dengan pemilikan sempurna, sesuatu harta tidak tertakluk kepada hak pihak lain. Pemiliknya mampu mengendalikan harta tersebut secara bebas dan keuntungan daripadanya juga kembali kepada pemiliknya. Maka, tidak wajib zakat kepada harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya. Syarat pemilikan sempurna diambil daripada dalil-dalil berkenaan zakat yang menyandarkan perkataan harta kepada pemiliknya sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat)[Surah al-Taubah (9): 103]
iv. CUKUP NISAB
Sesuatu harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab yakni paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat. Umumnya, setiap kategori harta mempunyai kadar nisabnya yang tersendiri. Misalnya bagi Zakat Pendapatan, Perniagaan, Wang Simpanan, Saham dan Emas, nisabnya adalah nilaian 20 mithqal (85 gram emas). Manakala nisab bagi Zakat Pertanian adalah 5 wasaq (atau awsuq). Bagi nisab Zakat Ternakan adalah berpandukan ukuran ketetapan yang telah dinyatakan dalam nas hadis.
v. CUKUP HAUL
Cukup haul bermaksud telah berlalu satu tahun ke atas harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun Hijrah iaitu selama 354 hari atau mengikut tahun masihi iaitu selama 365 hari. Pada asalnya, asas perkiraan haul adalah mengikut tahun Hijrah, namun oleh kerana kebiasaan (uruf) pada hari ini penggunaan tahun masihi mengatasi penggunaan tahun Hijrah, maka praktis pengiraan zakat lebih tertumpu kepada kalendar tahun masihi.
Haul menjadi syarat dan penyelaras dalam sistem zakat. Pensyaratan haul terhadap sesetengah harta adalah pendapat jumhur ulama dan sebahagian mereka menukilkan ijmak. Namun ulama telah menetapkan bahawa pensyaratan haul tidak meliputi seluruh sistem zakat di mana ia disyaratkan kepada beberapa jenis zakat seperti Emas, Perniagaan dan Ternakan. Manakala Zakat Pendapatan, Pertanian?dan Rikaz tidak disyaratkan haul.
vi. BERKEMBANG (AL-NAMA)
Harta yang akan dikenakan zakat mestilah harta yang berkembang atau berpontensi untuk berkembang. Sifat berkembang harta adalah sifat yang memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya. Secara praktis, ulama sejak zaman-berzaman tidak mewajibkan zakat terhadap haiwan yang dijadikan kenderaan, rumah kediaman, perabot rumah, alat-alat pekerjaan, dan lain-lain yang sifatnya tidak berkembang kerana ia dijadikan semata-mata untuk kegunaan peribadi. Syarat ini sebenarnya selari dengan makna asal perkataan zakat dalam bahasa Arab yang memberi maksud bertambah dan berkembang. Syarat ini diambil daripada nas hadis Rasulullah SAW (yang bermaksud):
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda: Tidak ada kewajipan zakat atas seorang Muslim pada hambanya dan tidak pula pada kudanya.(HR Bukhari & Muslim)
Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.
Jenis-Jenis Zakat
Zakat Pendapatan
Zakat Peniagaan
Zakat Saham
Zakat Emas/Perak
Zakat KWSP
Zakat Wang Simpanan
Kira Zakat Pendapatan
Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan).
Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan
dari hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan
sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.
Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan
merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya
bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi.
Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion makan gaji sudah menjadi lumrah
dalam kehidupan sekarang.
Apa Itu Zakat Pendapatan ?
Dalil Zakat Pendapatan
Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.[Al-Baqarah (2): 267]
Dalam sebuah Hadis (yang bermaksud):Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:
Sedekah ditekankan atas setiap Muslim Lalu para Sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan) Beliau menjawab: Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah (HR Bukhari & Muslim)
Al-athar para Sahabat turut menjadi dalil kewajiban?zakat pendapatan. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd diterima daripada Hubayrah ibn Yarim, beliau berkata (yang bermaksud):
“Abdullah ibn Masud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.”